Oleh: KALAWON SALANGIT
KENINGAU (Sabah, Malaysia): Buat julung kalinya seramai 48 peserta dari daerah Keningau, Tenom, Sipitang dan Wilayah Persekutuan Labuan mengikuti aktiviti “Keningau Riders Fun Ride To Maliau Basin” dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg.Purakogis Bayangan yang diadakan pada 28-29 Mei lepas.
Ketua rombongan Azlie Murin berkata, Aktiviti ini dianjurkan oleh “GAIS CREW” iaitu salah sebuah kelab berbasikal di daerah ini.Penganjuran sebegini merupakan aktiviti berbasikal bukit atau Mountain Bike(MTB) untuk kayuhan kembara memasuki Maliau Basin.
Katanya, para peserta telah berkonvoi menggunakan kenderaan pacuan empat roda sehingga ke pintu masuk Maliau Basin. Perjalanan berbasikal pula dimulakan dari pintu masuk Maliau Basin sehingga ke Belian Camp yang terletak kira-kira 27.5 kilometer dari tempat permulaan.
Beliau berkata, pada awalnya kayuhan dijangka hanya mengambil masa sekitar 3 jam sahaja, namun di pertengahan jalan, hujan telah turun dan membasahi jalan yang berbaki kira-kira 19 kilometer lagi.
“Namun keadaan laluan yang berbukit, basah dan berlumpur menambahkan lagi cabaran fizikal dan mental para peserta. Keseluruhan kayuhan telah mengambil masa 4 jam 40 minit dengan 12 peserta berjaya menawan semua laluan tanpa bantuan kenderaan pengiring” katanya ketika ditemui media selepas program itu.
Jelas Azlie, peserta telah bermalam di khemah pasang siap yang didirikan secara bergotong-royong. Sebanyak 10 buah khemah dan 20 tempat tidur ala-ala tentera telah dipasang untuk kegunaan semua peserta.
Tambahnya, pada sebelah malam, aktiviti Night Walk telah dibuat di sekitar Pusat Pembelajaran Lembangan Maliau Basin. Dalam aktiviti ini peserta berpeluang melihat hidupan liar seperti Kijang, Pelanduk, Gajah dan berbagai lagi hidupan hutan yang lain.
Yang lebih menarik katanya, di kawasan tepi tapak perkemahan sentiasa dikunjungi oleh khinzir liar yang agak besar dan jinak. Namun, begitu adalah dilarang untuk mendekati apatah lagi memberi makan kepada hidupan liar kerana dikhuatiri akan mengganggu cara hidup semulajadi haiwan-haiwan tersebut. Suasana malam sangat tenang dan diiringi oleh bunyi-bunyian ungas dan haiwan yang bersambung-siul hingga ke hari siang.
Pada hari kedua katanya, para peserta telah dibawah ke kawasan Sungai Maliau Basin yang mana airnya sentiasa kelihatan merah dan jernih. Seterusnya ke Jambatan Gantung dan Canopy Walkway untuk melihat burung-burung pelbagai jenis yang hinggap di dahan-dahan pokok hutan. Selepas itu peserta dibawah ke galeri dan kedai serbaneka. Akhir sekali, acara bergambar dan penyerahan Cenderahati kepada wakil Maliau Basin.
Secara keseluruhannya, para peserta sangat gembira, teruja dan merasa bertuah kerana berpeluang merasai pengalaman berkayuh ke Maliau Basin dalam suasana yang lasak dan mencabar.
“Objektif aktiviti adalah untuk mengeratkan persahabatan dikalangan peminat MTB di seluruh Sabah, sebagai simbolik sokongan peminat Mountain Bike(MTB) terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hutan simpan di Negeri Sabah dan bagi menggalakan minta masyarakat terhadap sukan berbasikal” katanya.
Sehubungan itu katanya, pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan kepada pihak Maliau Basin kerana sudi menerima kunjungan berkayuh rombongan kami.
“Adalah diharapkan agar aktiviti ini dapat diadakan lagi dan terus mendapat sambutan dan sokong dari semua pihak di masa akan datang”.Katanya.