IBU Pejabat Polis Indonesia akan mula membentuk barisan polis di semua peringkat untuk ditempatkan di ibu negara baharu, Nusantara.
Jurucakap polis, Dedi Prasetyo berkata, langkah itu dilakukan sebagai persiapan perpindahan ibu pejabat polis negara ke Nusantara yang disasarkan pada 2024.
“Pada tahun depan, kita akan bentuk barisan polis yang ditempatkan di Nusantara sebelum dipindahkan ke ibu negara baharu itu pada 2024.
“Proses perpindahan akan dilakukan secara berperingkat, namun merangkumi semua peringkat dalam jabatan polis,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Jelas Dedi, polis akan mengkaji jumlah anggota yang akan ditempatkan di Nusantara dan semua kemudahan yang diperlukan.
Katanya, semua proses akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan tahap keselamatan di Nusantara terjamin dan berjalan lancar.
Selain itu, barisan Komando Briged Bergerak (Brimob) juga akan dibentuk untuk mengukuhkan sistem pertahanan di Nusantara.
Dalam pada itu, Menteri Penyelaras Bidang Politik, Perundangan dan Keamanan, Mahfud MD memaklumkan, barisan pemimpin dijangka berpindah ke Nusantara pada Julai atau Ogos 2024.
“Pada Julai atau Ogos 2024, barisan pemimpin akan mula berpindah ke sana, Insya Allah semuanya akan berjalan lancar,” ujarnya.
Mahfud juga berharap proses perpindahan itu tidak akan dibatalkan kerana adalah penting untuk memastikan Nusantara dapat berfungsi dalam kapasiti penuh.
“Kita tidak mahu proses perpindahan ini tergendala, maka kita harap semuanya berjalan seperti yang kita rancang,” jelasnya.