KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia) — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mengalu-alukan pelaksanaan Program Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Pulang Ke Negara Asal (Program Back For Good) oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia.
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, program itu yang akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia wajar dipanjangkan dan turut melibatkan negeri Sabah.
Katanya ini memandangkan negeri Sabah mempunyai PATI yang ramai bilangannya dan masalah PATI telah berlaku sejak sekian lama.
“Pelaksanaan program itu di Sabah amat dinanti-nantikan oleh rakyat negeri ini, yang bimbang dengan kehadiran PTI yang ramai.
“Tambahan lagi sejak akhir-akhir ini, PATI dilaporkan banyak terlibat dengan kes-kes jenayah di Sabah termasuk kes bunuh, rompakan bersenjata dan lain-lain.
“Kita berharap program ini turut dilaksanakan di Sabah kerana Ini merupakan program yang tidak mengenakan hukuman yang berat kepada warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta lmigresen 1959/63 (Akta 155) untuk pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat-syarat yang ditetapkan”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman mengulas kenyaatan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan pelaksanaan program itu, semalam.
Muhyiddin berkata, kesalahan PATI membabitkan Seksyen 15(1) (c) iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah mengikut Akta 155.
Katanya program berkenaan juga sudah mendapat persetujuan Pejabat Peguam Negara dan akan bermula dari 1 Ogos ini hingga 31 Disember depan.
Beliau berkata, bayaran kompaun dikenakan ialah RM700 bagi setiap warga asing menyertai program terbabit.
Menurutnya, program berkenaan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia tanpa pembabitan pihak ketiga ( vendor atau ejen) atau syarikat penyumberan luar dan dijalankan oleh 200 anggota serta pegawainya di 80 kaunter di pejabat Imigresen di seluruh Semenanjung Malaysia.
Hajiji berkata, rakyat negeri ini amat berharap Program PATI Pulang Ke Negara Asal dapat dilaksanakan di Sabah pada kadar segera demi kesejahteraan rakyat Sabah.