Oleh DG HENRY

LAPAN pasukan yang layak ke peringkat akhir Kejohanan Piala Sabah 2022 merebut piala Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor bakal berentap di sini bermula 23 Mac ini sekali gus menjanjikan saingan dan aksi menarik.
Perlawanan membabitkan lapan pasukan yang sebelum ini menjuarai peringkat zon masing-masing akan diadakan di Padang Sukma, di sini, sebelum aksi final di Stadium Likas pada 27 Mac ini.
Sekiranya keadaan padang SUKMA tidak mengizinkan akibat cuaca yang tidak menentu, perubahan venue akan dilakukan dan dimaklumkan kepada semua pasukan terlibat kemudian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Azman Mastar berkata, pasukan yang layak ke peringkat akhir kejohanan ini ialah SAFA Tuaran, SAFA Putatan, SAFA Pitas, SAFA Membakut, SAFA Libaran, SAFA Telupid, SAFA Keningau dan SAFA Tawau mewakili zon masing-masing.
Katanya, kejohanan akan dijalankan menggunakan format liga dalam kumpulan sebelum acara final yang menemukan juara kedua-dua kumpulan A dan B pada perlawanan akhir Stadium Likas.
Menurut beliau, Ketua Menteri sudah menyatakan persetujuan untuk melakukan upacara penutupan kejohanan dan seterusnya menyampaikan piala dan hadiah kepada pemenang.
Selain itu, katanya, Presiden SAFA dan pemimpin tertinggi persatuan itu dijangka turut hadir bagi memeriahkan perlawanan akhir kejohanan berkenaan.
Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA berharap kejohanan itu akan menjadi medan mengetengahkan pemain-pemain baharu untuk mempamerkan kemahiran dan bakat masing-masing.
“Kita percaya menerusi kejohanan seperti ini, kita akan mampu melahirkan pemain yang berkualiti dan memang menjadi harapan kita dapat mencungkil bakat-bakat baharu yang berkualiti seperti lagenda Sabah seperti Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Matlan Marjan,” katanya pada sidang media selepas acara pengundian yang dijalankan di Pejabat SAFA, di sini, hari ini.
Beliau menambah, Piala Sabah 2022, kejohanan kedua terbesar selepas Kejohanan Piala BMR yang diadakan akhir tahun lepas akan berjalan lancar dan dapat memenuhi sasaran penganjurannya.
Katanya, orang ramai yang berminat menyaksikan kejohanan ini juga dialu-alukan untuk hadir memberi sokongan kepada pasukan masing-masing mengikut jadual ditetapkan.
Sementara itu, hasil undian yang diadakan secara atas talian menyaksikan Kumpulan A membabitkan pasukan Tuaran, Putatan, Pitas dan Membakut.
Manakala bagi Kumpulan B pula terdiri dari pasukan Telupid, Tawau, Keningau dan Libaran.
Proses pengundian pasukan dijalankan oleh dua pemain lagenda negara, Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani.
![]()