Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Grand final piala Sabah 23 – 27 Mac Ini

0

Oleh DG HENRY

PERLAWANAN peringkat akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Sabah 2022 bagi merebut Piala Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 23-27 Mac ini.

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dalam mesyuaratnya pada Khamis, yang turut disertai lapan Pengerusi penganjur peringkat zon masing-masing secara dalam talian.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Azman Mastar, berkata penganjuran kejohanan di peringkat lapan zon akan ditentukan oleh pengerusi dan ahli jawatankuasa di peringkat zon terbabit.

Katanya, setiap zon tersebut akan menentukan tarikh kejohanan masing-masing mengikut kesesuaian mereka.

“Juara kejohanan di peringkat zon akan bertanding di peringkat grand final yang akan di adakan di Kota Kinabalu nanti mengikut tarikh yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zon berkenaan ialah Pantai Barat melibatkan pasukan daerah Kota Kinabalu, Putatan, Papar dan Penampang dipengerusikan Lokman Sunggim, Pantai Barat Utara terdiri dari pasukan Kudat, Pitas, Kota Marudu dan Matunggong dipengeruskan Awang Lahaji Rokimin, Pantai Barat Timur membabitkan pasukan Tuaran, Kota Belud, Kiulu dan Tamparuli dipengerusikan Justin Ganai, Pedalaman Atas melibatkan pasukan Keningau, Tenom, Nabawan dan Tambunan dipengerusikan Fred Vincent Marukau, Pantai Barat Selatan terdiri dari pasukan Beaufort, Sipitang, Membakut, Kuala Penyu, Menumbok dan Wilayah Persekutuan Labuan dipengerusikan Dato Razak Sulaiman, Pantai Timur Selatan melibatkan pasukan Tawau, Semporna, Kalabakan, Kunak dan Lahad Datu dipengerusikan Rahman Mohd Noor, Pantai Timur Utara membabitkan pasukan Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Libaran dipengerusikan Ibrahim Mastar dan Zon Tengah terdiri dari pasukan Telupid, Ranau Dan Tongod dipengerusikan Tommy Amir.

Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA, berkata penyenaraian pemain dalam pasukan adalah terbuka memandangkan tiada had umur ditetapkan.

“Setiap pasukan boleh menyenaraikan pemain mengikut keperluan mereka masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, setiap pasukan hendaklah menggunakan khidmat ketua jurulatih yang mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya memiliki Lesen B atau C AFC/FAM, penolong jurulatih hendaklah memiliki Lesen C atau D, jurulatih penjaga gol pula mestilah sekurang-kurangnya memiliki Level 1 AFC/FAM atau sijil asas SAFA. Manakala fisioterafi Level 1 (Sains Sukan).

Beliau berharap semua pasukan akan memberi kerjasama dan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kelancaran kejohanan tersebut.

Menurut beliau, jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA akan mengadakan mesyuarat sekali lagi selepas ini membabitkan lapan pengerusi penganjur peringkat zon agar kejohanan ini dapat berjalan dengan lancar.

Mengenai hadiah yang ditawarkan kepada pemenang, Azman menjelaskan, juara akan menerima wang tunai RM30,000, sebuah piala dan 30 trofi, naib juara akan menerima wang tunai RM20,000, sebuah piala dan 30 trofi manakala wang sagu hati RM3,000 akan diberikan kepada enam pasukan terbaik di peringkat akhir.

Katanya, kejohanan Piala Sabah ini merupakan antara lima kejohanan yang terkandung dalam kalender penganjuran SAFA selepas kejayaan Kejohanan Piala Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin B18 baru-baru ini.

Kejohanan lain yang termasuk dalam perancangan SAFA ialah Kejohanan Antara Kelab-kelab, Piala SAFA dan kejohanan bola sepak wanita Sabah.

“Dengan ada kerjasama baik dari semua zon terlibat, insyaAllah semua kejohanan ini akan dapat dianjurkan dengan jayanya selari dengan perancangan dan hala tuju Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, tambah beliau, semua pasukan SAFA daerah di setiap zon diharapkan akan terus memberi kerjasama dan sokongan padu terhadap perancangan dan usaha yang dilakukan SAFA Pusat ini.

 

 153 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.