RANAU (Sabah, Malaysia) – Tan Sri Joseph Kurup berkata bahawa ekonomi dapat dijana melalui penghasilan produk tempatan yang berkualiti tinggi dengan menggunakan jenama sendiri.
“Ini bukan perkara yang mustahil,” katanya kepada pengamal media selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Awal Tahun 2016 KRT Daerah Ranau / Kundasang dan Pengiktirafan Projek Inovasi Baja Kompas serta Pelancaran Tamu Mingguan KRT Ranau pada Jumaat (26 Feb 2016).
Menteri di jabatan Perdana Menteri itu berkata bahawa kerajaan berhasrat untuk melahirkan masyarakat usahawan yang kreatif, dan mempunyai kreativiti dan inisiatif dalam memperkasakan ekonomi.
Beliau menyarankan kepada komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini supaya menjana dan meningkatkan ekonomi masing-masing, tanpa terlalu bergantung sepenuhnya terhadap bantuan kerajaan.
Katanya, sesuatu mampu dicapai dengan menggunakan kreativiti.
Di majlis itu Kurup melancarkan dua projek ekonomi KRT – pengiktirafan baja kompas jenama ‘Tosonong’ dan Tamu KRT Ranau.
Menurut Kurup inisiatif KRT itu di Ranau merupakan tindakan yang berkesan yang perlu dicontohi oleh semua KRT di seluruh negeri bagi menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Pujian saya berikan kepada KRT Ranau dan Kundasang yang sentiasa berusaha membangunkan ekonomi masing-masing,” katanya.
Majlis itu dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan integrasi Nasional (JPNIN).
Terdahulu, Pengarah JPNIN Sabah – Delin Liet Blaun berkata bahawa inisiatif yang dilakukan oleh KRT Ranau dan Kundasang, adalah selaras dengan saranan yang diilhamkan Kurup pada sebelum iniyang mahu melahirkan KRT berinovasi, kreatif dan berdaya maju.
Katanya, pengiktirafan baja kompas berjenama ‘Tosonong’ merupakan satu kejayaan besar yang dihasilkan oleh komuniti KRT di situ.
“Satu pencapaian yang sangat besar,” katanya dan mengharapkan lebih banyak penerokaan baru dilakukan oleh KRT-KRT yang lain di negeri ini.
Baja jenama Tosonong diusahakan bersama oleh KRT Marakau Ranau yang didominasi oleh suku kaum Dusun.
Mengenai Tamu KRT Ranau, Delin nenberitahu bahawa ia akan beroperasi di Liwagu pada setiap Ahad bermula jam 7 hingga 4 petang.