Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Israel lancar serangan awal ke atas Iran

0
Asap berkepul selepas letupan dilaporkan berlaku di Tehran, Iran, susulan pengumuman oleh Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, bahawa Israel telah melancarkan serangan awal ke atas Iran. – Foto REUTERS

TEHRAN: Israel melancarkan serangan awal ke atas Iran sebentar tadi sekali gus menjerumuskan Asia Barat dalam kancah konfrontasi ketenteraan baharu.

Perkembangan itu secara langsung menjejaskan sebarang harapan untuk penyelesaian diplomatik terhadap pertikaian nuklear Tehran yang berlarutan dengan Barat.

The New York Times, memetik seorang pegawai Amerika Syarikat (AS), melaporkan bahawa serangan AS ke atas Iran sedang dijalankan.

Sumber memberitahu Reuters bahawa pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, tidak berada di Tehran dan telah dipindahkan ke lokasi selamat.

Orang ramai berlari mendapatkan perlindungan susulan letupan dilaporkan berlaku selepas Israel berkata ia melancarkan serangan awal ke atas Iran di Tehran, Iran. Foto REUTERS

Serangan ini, yang berlaku selepas Israel dan Iran terbabit dalam perang udara selama 12 hari pada Jun lalu, mengikuti amaran berulang dari AS-Israel bahawa mereka akan menyerang semula jika Iran meneruskan program nuklear dan peluru berpandu balistik.

“Negara Israel melancarkan serangan awal ke atas Iran untuk menghapuskan ancaman terhadap Negara Israel,” kata Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz.

Seorang pegawai pertahanan Israel berkata operasi itu telah dirancang selama beberapa bulan dengan koordinasi Washington, dan tarikh pelancaran telah ditetapkan beberapa minggu lalu.

Letupan didengar di Tehran pada Sabtu, lapor media Iran, manakala siren dilaungkan di seluruh Israel sekitar jam 08.15 waktu tempatan sebagai amaran proaktif oleh tentera untuk mempersiapkan orang ramai bagi kemungkinan serangan peluru berpandu.

Tentera Israel mengumumkan penutupan sekolah dan pejabat, kecuali untuk sektor penting, serta larangan penggunaan ruang udara awam.

Israel menutup ruang udara kepada penerbangan awam, dan pihak berkuasa lapangan terbang meminta orang ramai supaya tidak pergi ke mana-mana lapangan terbang negara itu. – REUTERS

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.