
TEHRAN: Presiden Donald Trump berkata tentera Amerika Syarikat (AS) sudah memulakan ‘operasi tempur secara besar-besaran di Iran’, sekali gus mengesahkan pembabitan negara itu dalam serangan yang dilancarkan oleh Israel, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Objektif kami adalah untuk mempertahankan rakyat Amerika dengan menghapuskan ancaman segera daripada rejim Iran – kumpulan kejam yang sangat keras dan dahsyat,” kata Trump dalam mesej video yang dimuat naik di platform Truth Social miliknya pada Sabtu pagi.
Perkembangan itu berlaku selepas AS meningkatkan secara besar-besaran penempatan tenteranya di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Iran supaya mengurangkan program nuklearnya, serta susulan tindakan keras terhadap protes meluas di negara itu.
Trump sebelum ini berulang kali mengancam tindakan ketenteraan sekiranya penyelesaian rundingan berhubung isu nuklear tidak dicapai.
Pusingan terbaharu rundingan tidak langsung di Geneva antara wakil Iran dan AS berakhir pada Khamis tanpa sebarang kemajuan.
“Mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear,” kata Trump ketika mengumumkan permulaan tindakan ketenteraan itu, hanya beberapa saat selepas Israel menyatakan bahawa ia telah melancarkan serangan awal terhadap Iran. – BERNAMa-dpa
![]()