Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Jerman mahu guna jantung babi pada manusia

0

KUMPULAN saintis Jerman merancang untuk mengklon dan membiakkan babi yang genetiknya sudah diubah suai bagi membolehkan jantung haiwan itu digunakan oleh manusia menerusi pembedahan pemindahan organ.

Saintis di Universiti Ludwig-Maximilians (LMU), Eckhard Wolf berkata, pasukannya menyasarkan babi spesies baharu yang genetiknya diubah suai dari baka Auckland itu bersedia untuk pemindahan organ menjelang 2025.

Pada bulan lalu, pasukan pakar bedah di Universiti Perubatan Maryland, Amerika Syarikat (AS) berjaya memindahkan jantung babi kepada seorang pesakit lelaki.

Pakar perubatan memaklumkan, lelaki itu memberi tindak balas yang positif biarpun terdapat risiko jangkitan, penolakan organ atau peningkatan tekanan darah.

“Konsep kami adalah menggunakan model yang lebih mudah iaitu menerusi lima pengubahsuaian genetik,” kata Wolf yang kini berdepan dengan pelbagai pandangan berhubung rancangannya.

Jerman merupakan satu daripada negara Eropah yang mempunyai kadar pendermaan organ paling rendah dan perjuangan hak asasi haiwan yang kuat.

Selain itu, Wolf memaklumkan, generasi pertama babi yang diklonkan dijangka dilahirkan pada tahun ini dan jantung haiwan itu bakal diuji pada babun sebelum meluluskan ujian klinikal terhadap manusia dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Kumpulan penyokong Wolf menegaskan organ haiwan dapat memendekkan senarai menunggu pemindahan organ, manakala kumpulan pencinta haiwan menyifatkannya sebagai penganiayaan. – REUTERS

 

 

 99 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.