JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) kagum dengan kemampuan skuad bola sepak kebangsaan mereka memberi tentangan sengit kepada Argentina sebelum kalah tipis 0-2 kepada juara dunia itu dalam aksi persahabatan di Stadium Utama Bung Karno kelmarin.
Katanya, Indonesia hanya menghuni ranking ke-149 dunia sedangkan Argentina merupakan pasukan No. 1 dunia dan jurang itu ibarat ‘langit dan bumi’.
Begitupun skuad Garuda tidak menunjukkan rasa gentar, apatah lagi lima hari lalu mereka juga memberi tentangan hebat kepada pasukan ke-93 dunia, Palestin dengan mengikat kedudukan 0-0.
“Sangat bagus. Saya rasa kerja keras pemain luar biasa. Seperti yang anda tahu, Argentina berada di kedudukan pertama dunia dan Indonesia pula di ranking ke-149, namun kami mampu bersaing.
“Walaupun mereka menang 2-0, namun pemain Indonesia mampu mengimbangi permainan,” katanya.
Dalam masa sama, Jokowi berharap perlawanan persahabatan menentang juara Piala Dunia 2022 itu mampu menjadi titik kebangkitan bola sepak Indonesia di pentas anatrabangsa.
Katanya, perlawanan itu sangat bagus kerana memberi peluang kepada pemain menimba ilmu serta pengalaman menentang pasukan bertaraf dunia.
“Kemudian dengan Argentina, pasukan No. 1 dunia, kami di tangga ke-149, hanya dibolosi dua gol, itu masih luar biasa.
“Kita lihat pada awalnya mereka agak gementar, masih gugup, namun separuh masa kedua mula berubah jadi luar biasa, mereka semakin dapat mengimbangi perlawanan.
“Ini adalah pengalaman besar buat skuad Garuda,” katanya.
Argentina yang beraksi tanpa kapten mereka, Lionel Messi meraih gol kemenangan menerusi rembatan jarak jauh Leandro Paredes pada minit ke-38, diikuti tandukan Cristian Romero di minit ke-55. – AGENSI