Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kejohanan piala SAFA antara kelab bulan depan

0

Oleh DG HENRY

Azman mempengerusikan mesyuarat dengan pengerusi-pengerusi Zon Pantai Barat, Pantai Barat Utara dan Pantai Barat Timur di pejabat SAFA, pagi tadi.

PERSATUAN Bola Sepak Sabah (SAFA) akan menganjurkan Kejohanan Piala SAFA Antara Kelab-Kelab bulan hadapan.

Ia akan dikendalikan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) SAFA susulan kejayaan menganjurkan dua kejohanan sebelum iaitu Piala BMR Bawah 18 tahun lalu dan Piala Sabah merebut piala Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pada Mac lepas,

Pengerusi jawatankuasa itu yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, berkata pertandingan di peringkat lapan zon dijangka bermula pertengahan bulan hadapan.

Katanya, zon terbabit ialah Pantai Barat, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Timur, Pantai Barat Selatan, Pedalaman Atas, Zon Tengah, Pantai Timur Utara dan Pantai Timur Selatan.

“Sehingga ini, pengerusi penyelaras lima zon iaitu Pantai Barat Selatan, Pedalaman Atas, Pantai Barat, Pantai Barat Utara dan Pantai Barat Timur sudah diberi taklimat mengenai penganjuran kejohanan itu. Manakala tiga lagi zon, Pantai Timur Utara, Pantai Timur Selatan dan Zon Tengah akan diberi taklimat serupa dalam beberapa hari lagi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, kelab-kelab yang ingin menyertai kejohanan tersebut mestilah berdaftar di SAFA daerah mengikut lokasi masing-masing dengan membayar yuran pendaftaran sebanyak RM500 selain membayar yuran penyertaan RM4,500 kepada SAFA pusat.

Azman memberitahu, kelab-kelab juga dikehendaki berhubung terus dengan pengerusi-pengerusi dan jawatankuasa di peringkat zon masing-masing yang dipertanggungjawabkan oleh JPKT.

“Kita percaya jawatankuasa pertandingan di peringkat zon mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan berdasarkan kejayaan menganjurkan dua kejohanan sebelum ini.”

“Peranan yang dimainkan oleh mereka sangat baik dan JKPT SAFA berpuas hati dan yakin mereka sudah tentu boleh menarik minat kelab-kelab di daerah masing-masing untuk menyertai kejohanan itu,” ujarnya.

Penolong Setiausaha Agung SAFA itu berkata, kejohanan ini akan memberi peluang luas kepada kelab-kelab bola sepak di seluruh Sabah untuk mengambil bahagian dan berharap mereka tidak melepaskan peluang tersebut.

Katanya, ini adalah masa terbaik untuk kelab-kelab bola sepak di negeri ini kembali aktif dalam sukan itu selepas dua tahun  tidak dapat berbuat demikian akibat pandemik Covid-19.

Azman menjelaskan, kejohanan itu menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai untuk dimenangi sebanyak RM100,000 bagi juara, naib juara (RM50,000) dan ketiga (RM20,000) beserta dengan medal.

Pertandingan di peringkat zon pula katanya, juara akan menerima hadiah wang tunai RM5,000, naib juara (RM3,000) dan ketiga (RM2,000) beserta medal.

Juara dan naib juara peringkat zon akan layak bertanding di grand final kejohanan itu di Kota Kinabalu yang dijadual pada Julai ini.

“Ini bermakna sebanyak 16 pasukan mewakili lapan zon dijangka berentap di grand final,” kata Azman.

Selain menerima hadiah lumayan, pasukan juara dan naib juara Kejohanan Piala SAFA Antara Kelab-Kelab itu akan mewakili Sabah ke Liga Amatur (M3) anjuran AFL.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.