Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kursus pemantapan ahli gabungan SAFA untuk tingkatkan kualiti pengurusan

0

Oleh ROSANNA EDEZA

PENOLONG Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Azman Mastar menyifatkan kursus pemantapan ahli gabungan badan bola sepak itu bagi membolehkan kepimpinan ahli gabungan terbabit berupaya meningkatkan lagi kualiti pengurusan mereka.

AZMAN MASTAR

Katanya, melalui kursus sedemikian, SAFA daerah mampu memantapkan lagi pentadbiran dan pengurusan mereka masing-masing khususnya dalam usaha membantu memajukan sukan bola sepak di negeri ini.

“Ini merupakan matlamat utama pihak persatuan bekerjasama dengan pejabat Pesuruhjaya Sukan Sabah mengadakan kursus seumpama ini bagi memberi maklumat dan pendedahan kepada ahli-ahli gabungan SAFA,” katanya ketika merasmikan Kursus pemantapan ahli gabungan SAFA di sebuah hotel di Suria Sabah, pagi tadi.

Sebahagian peserta yang menghadiri kursus

Azman mewakili Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr. Jelani Hamdan yang tidak dapat hadir pada kursus tersebut.

Menurut beliau, SAFA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pejabat Pesuruhjaya Sukan Sabah atas usaha mereka membantu menjayakan kursus berkenaan.

Beliau menambah terdapat keperluan untuk mengadakan kursus tersebut bagi memastikan semua ahli gabungan SAFA mendapat maklumat dan pendedahan mengenai pengurusan sesebuah persatuan dengan lebih teratur dan mengikut perlembagaan.

“Kita percaya kursus ini memberi banyak manfaat kepada kepimpinan ahli-ahli gabungan SAFA untuk mengurus pentadbiran persatuan masing-masing dengan lebih baik dan berkualiti,” ujarnya.

Sehubungan itu, Penolong Setiausaha Agung SAFA itu menasihatkan SAFA daerah supaya sentiasa mematuhi setiap keperluan yang dikehendaki oleh pejabat Pesuruhjaya Sukan termasuk mengemukakan laporan tahunan dan aktiviti bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka.

“Ia juga membolehkan setiap ahli gabungan SAFA di daerah sentiasa bergiat aktif melaksanakan aktiviti mereka yang sekali gus boleh membantu usaha dalam memajukan sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana ahli gabungan yang tidak aktif dan bermasalah, SAFA boleh mengesyorkan kepada pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka.

Kursus sehari itu dibahagikan kepada tiga sesi yang dijayakan oleh pejabat Pesuruhjaya Sukan Sabah termasuk sesi pertama dikendalikan oleh Pengarahnya, Sempini Langiton.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Mustapha Tuah dan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.