Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Lebih 500 Peserta Sertai Klinik Bola Sepak SAFA Tuaran

0

Oleh DG HENRY

LEBIH 500 peserta membabitkan pemain bawah umur 12 tahun hingga 16 tahun mengikuti klinik bola sepak Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Tuaran di padang pekan di sini pada Sabtu.

Kassim bersama peserta klinik bola sepak itu.

Klinik bola sepak itu dilancarkan Presiden SAFA Tuaran, Datuk Kassim Razali.

Beliau berkata, pihaknya menaruh harapan lebih ramai pemain-pemain muda berbakat dapat dicungkil melalui program tersebut untuk membolehkan mereka mampu pergi jauh dalam sukan berkenaan.

Katanya, mudah-mudahan pemain-pemain muda ini dapat diketengahkan bakat mereka dan seterusnya mampu untuk mewakili pasukan Sabah mahu pun mewakili pasukan luar pada masa akan datang.

“Sudah tentu ada di antara pemain-pemain muda ini dapat digilap dan boleh menjadi bintang suatu hari nanti,” katanya.

Sebahagian peserta yang menyertai klinik bola sepak SAFA di Tuaran

Klinik bola sepak itu dikendalikan jurulatih Justin Ganai bersama kira-kira 40 jurulatih lain.

Kassim yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri menambah sambutan menggalakkan peserta terhadap klinik bola sepak tersebut mencerminkan minat mereka dalam sukan bola sepak.

Justeru, katanya, SAFA Tuaran akan terus memainkan peranan untuk mengendalikan klinik bola sepak seumpama itu pada masa akan datang.

Beliau juga menghargai kerjasama dan komitmen ibu bapa yang memberi semangat dan dorongan kepada anak-anak mereka menyertai program itu.

Turut hadir pada klinik itu ialah Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar dan Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim.

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.