Oleh DG HENRY

SABAH FC B21 berkongsi satu mata dengan pasukan UiTM FC selepas seri 0-0 dalam perlawanan Piala Presiden di Stadium Likas, kelmarin.
Kedua-dua pasukan bersaing hebat dalam babak separuh masa pertama, masing-masing berusaha untuk berusaha menembusi benteng pertahanan.
Namun usaha itu tidak berhasil memandangkan kedua-dua pasukan berjaya mempertahankan kubu masing-masing daripada dibolosi.
Sabah FC B21 yang diperkuatkan dua pemain senior, Thanabalan dan Baddrol terus mengasak pasukan pelawat tetapi tiada jaringan dapat dilakukan.
Begitu juga UiTM menggunakan khidmat pemain senior seperti Azeddy Misra yang mengemudikan pertahanan mereka di samping Hizaz Lokman yang bertindak di bahagian serangan.
Bagaimanapun, pergerakan Hizaz sentiasa dibayangi sekurang-kurangnya tiga pemain pertahanan Sabah FC B21 yang diketuai Baddrol menyukarkan dia melancarkan serangan menyebabkan permainan terikat tanpa jaringan sehingga wisel penamat dibunyikan,
Sebelum ini, pada perlawanan pusingan pertama di Stadium UiTM di Shah Alam, kedua-dua pasukan juga terikat 1-1 bulan lepas.
Gol UiTM FC dijaringkan Hizaz manakala gol penyamaan Sabah FC B21 diperolehi menerusi sepakan penalti Azhad Harraz.
Sabah FC B21 akan menetang pasukan Sarawak United FC di Stadium Likas pada Khamis ini manakala UiTM FC akan menghadapi Kuching City FC di Kuching pada hari yang sama.
568 total views, 1 views today