SINGAPURA: Selepas perbicaraan yang menjangkau lebih setahun, seorang lelaki dari Wuhan dan isterinya didapati bersalah kerana merahsiakan maklumat daripada pegawai pengesanan kontak Covid-19.
Berita Mediacorp melaporkan, Hu Jun, 40, didapati bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit kerana sengaja menyembunyikan maklumat daripada pegawai pengesanan kontak mengenai keberadaan dan kegiatannya.
Isterinya, Shi Sha, 36, didapati bersalah atas empat tuduhan merahsiakan maklumat, memberikan keterangan palsu dan gagal menjawab sepenuhnya dan secara jujur kepada seorang pegawai kesihatan.
Hu Jun melakukan perjalanan ke Singapura dari Wuhan, China, yang menjadi lokasi penularan Covid-19, untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarganya di sini pada Januari 2020.
Dia diuji positif Covid-19 sembilan hari selepas dia tiba di sini dan tidak memaklumkan pegawai kesihatan bahawa dia sebelum itu turut melakukan lawatan ke beberapa tempat lain sewaktu berjangkit. Ini termasuk beberapa hotel, sebuah restoran dan Kedutaan China.
Hu Jun berkata, dia tidak mendedahkan sesetengah maklumat kepada pegawai kesihatan kerana dia sama ada tidak tahu mereka mahukan maklumat tersebut, tidak ingat nama tempat-tempat yang dikunjungi atau tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk menjawab.
Pada 29 Januari 2020, Hu Jun pergi ke Hospital Besar Singapura (SGH) bersama isterinya selepas berasa pening dan mula batuk.
“Hingga ke hari ini saya masih tidak pasti sama ada saya adalah kes (Covid-19) yang disahkan,” katanya sambil mendakwa tiada seorang pun yang memaklumkan demikian kepadanya sewaktu berada di hospital.
Isterinya pula berkata, dia mendapati sukar untuk berkomunikasi dengan pegawai pengesanan kontak, sambil mendakwa dia hampir boleh mengesahkan bahasa Mandarin bukan bahasa ibunda pegawai wanita itu.
Perbualannya dengan pegawai wanita itu ibarat ayam dengan itik, katanya.
Kedua-duanya berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum S$10,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.
269 total views, 1 views today