PENNSYLVANIA: Berkat kegigihan dan kesungguhan, seorang pelajar Sekolah Tinggi Interboro di Prospect Park di bandar ini menerima tawaran melanjutkan pengajian dari 18 kolej dengan tajaan biasiswa lebih AS$1.08 juta (RM4.52 juta).
Lapor UPI, Brianna Maddonni memaklumkan dia menjadi rambang mata dan belum membuat sebarang keputusan untuk memilih tawaran tersebut.
Katanya, dia tidak menyangka kesungguhannya membuat permohonan untuk menyambung pengajian dan biasiswa mendapat respon yang sangat luar biasa.
“Saya akan menyemak setiap surat permohonan ke kolej beberapa kali dan memohon semua biasiswa yang ada,” katanya.
Maddonni yang meraih gred purata 4.0 berkata, rahsia kejayaannya selama ini adalah memastikan dirinya sentiasa mempunyai azam dan semangat yang tinggi selepas dia kehilangan pendengaran secara genetik.
“Saya tidak dapat mendengar sekiranya ada individu yang datang dari arah belakang dan mahu bercakap dengan saya.
“Namun, saya enggan menjadikan kekurangan ini sebagai halangan untuk saya berjaya,” ujarnya.
Sementara itu, kaunselor di Sekolah Tinggi Interboro, Jasmine Woodson berkata, usaha keras dan kesungguhan adalah kunci untuk meraih biasiswa tersebut.
“Di luar sana banyak biasiswa yang disediakan untuk pelajar, tetapi ada yang tidak tahu kerana tidak pernah mencuba,” jelasnya.
Tahun lalu, pasangan kembar Denisha dan Destiny Caldwell menjadi tumpuan apabila menerima tawaran belajar dari 200 kolej dan universiti.
Pasangan adik beradik itu turut ditawarkan biasiswa berjumlah AS$24 juta (RM100 juta.