HALA tuju Sabah Maju Jaya hanya akan berjaya sekiranya wujud persekitaran kondusif termasuklah kestabilan politik serta kerajaan yang kukuh.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kini selepas mendapat sokongan padu rakyat Sabah, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memastikan tanggungjawab untuk memenuhi aspirasi rakyat negeri ini.
“Saya menyeru kepada semua pemimpin yang hadir pada malam ini untuk terus merapatkan barisan dan bersatu padu.
“Hari ini kita mungkin berada dalam parti politik berbeza, tetapi hakikatnya kita pernah bersama dalam rumpun yang sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, semalam.
Beliau berkata, Kerajaan GRS menekankan hala tuju strategik dalam pelaksanaan Sabah Maju Jaya di negeri ini.
Oleh itu katanya, Pemuafakatan GRS bukan sekadar kepentingan demi rakyat tetapi juga bagi membentuk kesatuan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam persekutuan Malaysia.
“Kita bersyukur kerana mempunyai Perdana Menteri (Muhyiddin) yang amat prihatin terhadap Sabah.
“Sejak saya memimpin kerajaan Negeri, Perdana Menteri sentiasa menzahirkan komitmen tinggi kerajaan Persekutuan untuk membantu Sabah,” katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, sebagai ketua kerajaan kepada rakyat dan negeri Sabah, beliau memberikan jaminan bahawa suara rakyat Sabah dalam mengutarakan hak-hak negeri bukan hanya berkisar mengenai kepentingan negeri semata-mata.
“Keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan kami kepada Persekutuan Malaysia, negara yang telah kita bentuk bersama-sama.
“Setelah hampir 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan, membina negara yang jauh lebih makmur, aman, maju dan sentiasa,” katanya. — Oleh Yap Siong Han