Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Rokok elektronik ancaman serius golongan muda  

0

JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia memberi amaran bahawa rokok elektronik atau vape boleh mendatangkan ancaman serius kepada generasi muda di negara itu.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit di kementerian kesihatan, Eva Susanti dalam sesi webinar bertajuk `Kolak Ketan 2023′.

“Menghisap vape dilihat sebagai ancaman serius kepada golongan muda di Indonesia.

“Rokok elektronik tidak selamat untuk kanak-kanak kerana ia mengandungi nikotin dan perisa dalam bentuk aerosol yang dikatakan mempunyai tujuh ribu kesan negatif,” katanya.

Dalam sesi webinar itu, Eva menegaskan rokok elektronik adalah sama bahaya dengan rokok konvensional.

Katanya, rokok elektronik merupakan peranti berkuasa bateri yang mampu menyalurkan nikotin dan perisa dalam bentuk aerosol.

Eva turut menekankan bahawa aerosol dihantar melalui rokok elektronik itu mengandungi bahan berbahaya.

Malah, jelas beliau, ia juga mengandungi logam berat karsinogenik seperti nikel, plumbum dan bahan kimia lain.

Dalam pada itu, Eva berkata, propylene glycol ditemukan dalam rokok elektronik boleh menyebabkan kerengsaan mata dan paru-paru serta gangguan saluran pernafasan.

Nikotin yang mempunyai kesan ketagihan boleh menyebabkan kemurungan, pening, kanser paru-paru, aterosklerosis dan kematian.

Nikotin juga boleh memberi kesan besar kepada perkembangan otak kanak-kanak dan remaja sehingga usia 25 tahun.

Malah, bahan kimia yang ada dalam ramuan perisa digunakan di dalam cecair vape iaitu diacetyl boleh menyebabkan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).

“Jadi, adalah penting untuk menjauhkan diri daripada rokok elektronik kerana ia tidak baik untuk kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Eva meminta perokok dalam kalangan bawah umur menggunakan momentun Ramadan untuk berhenti menghisap rokok. – AGENSI

 

 

 

 264 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.