Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sabah FC B23 perlu menafaatkan halaman sendiri

0

Oleh DG HENRY

KUALA LUMPUR: Sabah FC B23 menjangkakan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di halaman sendiri apabila menerima giliran beraksi di Stadium Likas dalam saingan Kumpulan A Piala MFL selepas ini.

Setakat ini, pasukan itu sudah mengharungi empat perlawanan di luar menyaksikan mereka mencatat keputusan dua kali seri dengan Pulau Pinang dan JDT serta mengalami dua kali kekalahan dengan pendahulu Kumpulan A, Terengganu dan tewas 2-1 dengan PDRM FC di Stadium UiTM Shah Alam, semalam.

Mereka akan menghadapi satu lagi perlawanan di luar menentang pasukan Skuad Projek FAM-MSN pada 16 April ini.

Jurulatih pasukan Sabah FC B23, Johnny Dominicus mengakui pasukannya menghadapi cabaran apabila mereka menghadapi lima perlawanan di luar pada saingan awal ini.

Katanya, bagaimanapun pasukan bimbingannya itu sentiasa berusaha bermain dengan baik bagi memastikan mereka boleh mengutip mata walaupun bermain di tempat lawan.

Menurut beliau, pasukannya akan memanfaatkan sepenuhnya peluang apabila beraksi di tempat sendiri nanti.

“Kita perlu manfaatkan peluang bila sampai masa kita bermain di halaman sendiri,” ujarnya.

Mengenai perlawanan dengan PDRM FC, jurulatih itu berkata, pasukannya telah berusaha untuk memberi tentangan namun kelebihan memihak tuan rumah.

Dalam perlawanan itu, Sabah FC B23 berjaya memperoleh gol pendahulu melalui Fakrul Iman pada minit ke-45 sebelum pemain import PDRM, Asyraf Kamal menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan separuh masa pertama.

Pemain import PDRM FC, Nnabuike menghasilkan gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-50 babak separuh masa kedua.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.