Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sabah sasar pingat emas acara bola sepak SUKMA ke-20

0

Oleh DG HENRY

David menyampaikan surat pelantikan kepada Mohd Khairul Nizaem sebagai pengurus pasukan

SABAH mensasarkan pingat emas dalam acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Kuala Lumpur pada September ini.

Pengurus pasukannya, Mohd Khairul Nizaem Moktar, berkata sasaran Sabah  ialah berusaha untuk memenangi pingat emas dalam kejohanan tersebut.

Katanya, pihaknya akan memastikan pasukan Sabah melakukan yang terbaik dengan menggunakan khidmat sebahagian besar pemain dari skuad Piala Presiden.

“Sekurang-kurangnya dua pemain dari skuad Piala Belia (B19) yang berpotensi juga akan diserapkan untuk digandingkan dengan pemain-pemain B21,” katanya selepas majlis penyerahan surat pelantikan pegawai untuk pasukan bola sepak SUKMA yang dilakukan Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), David Wisom di pejabat SAFA, pagi ini.

Menurut beliau, pada masa yang sama, pasukan itu turut mendapatkan khidmat pemain skuad Liga Super, Azhad Harraz bagi membantu memperkuatkan lagi Sabah.

Khairul Nizaem yang juga Penolong Pengurus pasukan Sabah FC, berkata, Sabah memang mempunyai rekod yang baik dalam SUKMA termasuk merangkul pingat emas acara bola sepak dalam temsya sukan itu di Pahang pada 2012 di samping memenangi pingat gangsa di SUKMA di Perak pada 2018.

“Dengan persiapan yang baik di samping semangat juang yang tinggi pasukan, kita mampu memberi saingan kepada pasukan lain dan seterusnya mampu memenangi pingat dalam SUKMA ke-20 ini,” ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya juga yakin bahawa jurulatih pasukan, Adzrien Harun dan penolongnya Sudirman Garamah mampu menggalas tugas yang diamanahkan dan seterusnya mengatur strategi pasukan menghadapi temasya sukan itu.

“Pemain-pemain dijangka akan memberi tumpuan terhadap latihan pusat pada Ogos ini sebaik saja saingan peringkat kumpulan Liga Piala Presiden berakhir.”

“Kita akan memanfaat masa itu untuk latihan pusat memandangkan pada waktu ini pemain-pemain masih lagi bermain dalam Piala Presiden dan Piala Belia,” tegas Khairul NIzaem.

Pegawai lain dalam pasukan itu ialah Asmawi Bair (jurulatih penjaga gol), Awang Jasrie Awang Matusin dan Dzulfaizal Ag Anak (jurulatih kecergasan dan fisio), Ronald Jackson (pegawai tadbir pasukan) manakala David Wisom selaku ketua kontinjen.

SUKMA ke-20 sepatutnya dijadualkan berlangsung di Johor sebelum ini namun terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid 19.

 42 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.