TABS Safa Bandaraya menyambung semula sesi latihan pelatih-pelatihnya mulai hari ini setelah ditangguhkan beberapa bulan akibat pandemik Covid 19.
Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim memberitahu, buat permulaan hanya pemain berumur 12 tahun ke atas hingga 17 tahun dan lengkap dua dos vaksinasi dibenarkan menyertai latihan itu.
Katanya, para jurulatih yang mengendalikan latihan berkenaan akan memastikan semua pemain mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak kerajaan.
“Pelatih terbabit bersyukur kerana dapat kembali meneruskan latihan setelah lama tidak dapat turun padang dan pada masa sama sentiasa memberi kerjasama kepada jurulatih yang bertugas,” katanya ketika ditemui di sini bagi memantau pengendalian sesi latihan tersebut.
Beliau berkata, sekiranya keadaan semakin pulih dan kehidupan kembali normal sudah tentu lebih ramai pelatih dapat mengikuti sesi latihan program pembangunan bola sepak akar umbi.
“Ketika ini kita dalam fasa 4 Program Pemulihan Negara (PPN) dan berharap situasi akan bertambah lebih baik selepas ini agar aktiviti sukan juga dapat dijalankan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau juga mengalu-alukan kehadiran Pengarah Sukan Sabah FC, Scott Olerenshaw yang turut bersama menyaksikan sesi latihan itu di padang TABS pagi ini.
Katanya, secara kebetulan Scott mempunyai peranan penting dalam program pembangunan kelab profesional tersebut khususnya pasukan B12 dan B17 Sabah FC – TABS, pasukan kalobarasi kedua-dua pihak.
Sementara itu, TABS juga menerima pengiktirafan keahlian perak bagi FAM Superimau dari badan bola sepak negara itu, baru-baru ini.
“Ini satu pengiktirafan yang baik kepada TABS yang mengendalikan program pembangunan bola sepak akar umbi selama ini,” tegas Lokman. – Oleh: DG HENRY