Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Tawaran kerja kosong dengan gaji lumayan di pulau terpencil

0

CARDIFF: Pemilik sebuah pulau di Wales dilaporkan mencari dua warden yang sanggup untuk tinggal dan bekerja di kawasan sangat terpencil itu dengan tawaran gaji lumayan 11.44 pound (RM67.28) sejam.

Lapor Sky News, warden penginapan di Pulau Bardsey atau dipanggil Ynys Enlli di luar pantai Semenanjung Llyn di Wales Utara akan turut menikmati pelbagai faedah termasuk satu perjalanan bot ke tanah besar setiap bulan.

Menurut iklan pekerjaan unik tersebut, faedah lain yang disediakan termasuk ruang penanaman dan sambungan internet.

Pulau seluas 1.78 kilometer persegi itu kini hanya didiami oleh 11 orang dan didakwa pernah menjadi tapak pengebumian ahli sihir mitos Merlin.

Bardsey Island Trust sedang mencari permohonan bersama daripada dua individu kerana mereka perlu tinggal dan bekerja bersama di kawasan yang disifatkan agak mencabar itu dan jika berjaya, kontrak tugas tersebut akan berlangsung dari 1 Mac hingga 30 Oktober ini.

“Pulau itu mempunyai bekalan elektrik yang terhad daripada panel solar namun boleh menyalakan lampu, peti sejuk beku dan router internet.

“Tetapi tiada air panas di dalam rumah dan tandas yang menggunakan sistem pengkomposan terletak di luar,” jelas maklumat iklan itu.

Rumah api dengan menara tertinggi di United Kingdom (UK) yang  berusia lebih 200 tahun boleh ditemui di pulau itu pada ketinggian 30 meter.

Pulau yang dibeli oleh Bardsey Island Trust pada tahun 1979 itu masih di bawah hak milik badan amal berkenaan.

Tahun lalu, pulau itu menjadi lokasi pertama di Eropah yang diberi status Dark Sky Sanctuary.

Mereka yang memohon jawatan warden di pulau itu juga mestilah fasih berbahasa Inggeris dan Wales serta mempunyai lesen memandu.

 

 53 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.