Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Tawau berentap di Final Piala Sabah 2022

0

Oleh DG HENRY

Barisan pemain Tuaran

PASUKAN Tuaran akan menghadapi Tawau pada perlawanan akhir Piala Sabah 2022 merebut piala Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor di Stadium Likas pada Ahad ini.

Pemain pasukan Tawau

Tuaran yang mewakili Zon Pantai Barat Timur mara ke perlawanan akhir selepas mengungguli Kumpulan A dengan mengumpul sembilan mata dengan memenangi kesemua tiga perlawanan di peringkat kumpulan.

Manakala Tawau yang mewakili Zon Pantai Timur Selatan menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Walaupun Tawau mempunyai sama mata dengan Keningau yang mewakili Pedalaman Atas namun Tawau mempunyai kelebihan satu jaringan gol untuk membolehkan mereka mara ke final.

Tuaran yang dilihat sebagai pasukan pilihan kerana diperkuatkan beberapa bekas pemain negeri seperti Rozaimi Abdul Rahman, Mafry Balang dan Zuraindy Jumai dijangka menerima tentangan hebat pasukan Tawau yang menampilkan barisan pemain muda.

Di atas kertas, Tuaran mungkin mempunyai “advantage” tetapi Tawau sudah tentu tidak akan mudah menyerah kalah sebaliknya mampu melakukan kejutan yang sukar dijangka.

Situasi ini menjanjikan saingan dan aksi yang menarik daripada kedua-dua pasukan apabila berentap di pentas akhir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor dijangka akan melakukan upacara penutupan kejohanan itu dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Persembahan kebudayaan turut diadakan sebagai memeriahkan lagi upacara penutupan di samping penyanyi tempatan, Abu Bakar Elah akan menjadi pengacara sepanjang acara kebudayaan dijalankan.

Juara Piala Sabah 2022 akan menerima hadiah wang tunai RM30,000, piala dan medal manakala naib juara akan memenangi wang tunai RM20,000, piala dan medal.

Enam pasukan lagi yang berjaya melayakkan diri ke grand final kejohanan itu masing-masing akan menerima sagu hati wang tunai sebanyak RM5,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Azman Mastar ketika ditemui di sini, berkata SAFA juga akan memberi sumbangan kepada tiga bekas pemain kebangsaan, Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani, Matlan Marjan dan bekas jurulatih Sabah, Stanley Chew sebagai menghargai jasa bakti mereka terhadap sukan bola sepak di negeri ini pada upacara penutupan kejohanan itu.

Menurut beliau, pihaknya juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi SAFA yang sentiasa memberi dorongan dan kerjasama baik bagi membolehkan Piala Sabah 2022 dapat dikendalikan dengan jayanya.

Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA menambah, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA akan menganjurkan dua lagi kejohanan iaitu Kejohanan antara kelab dan Piala SAFA pada tahun ini selepas penganjuran Piala Sabah.

“Dua kejohanan tersebut ada dalam kalender perancangan SAFA dan diharap ia dapat direalisasikan sekiranya tiada sebarang kekangan,” ujarnya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua lapan zon yang terlibat atas kejayaan mereka mengendalikan kejohanan Piala Sabah di peringkat zon masing-masing.

 

 

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.