Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Terdesak mahukan cucu, suami isteri saman anak RM2.8 juta

0

DEHRADUB: Sepasang suami isteri di India mengheret anak lelaki mereka ke mahkamah bagi menuntut dia dan isterinya memberikan mereka cucu dalam tempoh setahun atau perlu membayar saman berjumlah AS$650,000 (RM2.8 juta).

Sanjeev dan Sadhana Prasad berkata, mereka menghabiskan wang simpanan bagi membesarkan dan membayar pengajian anak lelaki mereka untuk menjadi juruterbang, selain membiayai majlis perkahwinan yang mewah.

Sekarang mereka menuntut bayaran balik itu dengan memberikan mereka cucu segera.

“Anak lelaki saya sudah berkahwin selama enam tahun, namun, mereka masih belum merancang untuk mendapatkan anak.

“Sekurang-kurangnya, jika kami ada cucu untuk menghabiskan masa, segala kesakitan kami akan tertanggung,” katanya dalam petisyen yang difailkan di mahkamah Haridwar pada minggu lalu.

Mereka menuntut ganti rugi 50 juta rupee (RM2.8 juta), termasuk kos majlis perkahwinan di hotel lima bintang, kereta mewah bernilai AS$80,000 (RM351,273) dan membayar percutian bulan madu pasangan itu di luar negara.

Pasangan itu turut mengeluarkan belanja AS$65,000 (RM285,416) untuk menghantar anak mereka mengikuti latihan juruterbang di Amerika Syarikat (AS), namun beliau pulang ke India tanpa sebarang pekerjaan.

“Kami juga terpaksa mengambil pinjaman bagi membina rumah dan kini kami sedang berdepan masalah kewangan.

“Secara mental, kami terganggu kerana tinggal sendiri,” kata pasangan itu dalam petisyen mereka.

Peguam pasangan itu, Arvind Kumar, berkata petisyen akan didengar oleh mahkamah utara India pada 17 Mei ini.

India mempunyai sistem kekeluargaan bersama yang kukuh di mana datuk, nenek, sepupu, makcik dan pakcik, kebiasaannya tinggal bersama.

Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, trend itu mula berubah, di mana pasangan muda berpindah daripada orang tua atau adik beradik.

Dalam kes ini, isteri memilih untuk bekerja daripada memberi fokus kepada anak dan tinggal di rumah. – AFP

 37 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.