Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

TKM Lancar Akademi Bola Sepak SAFA Minggu Depan

0

Oleh DG HENRY

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmy Yahya akan melancarkan Akademi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di padang persatuan itu pada 11 Mac ini.

Pengarah akademi berkenaan, Azman Mastar, hari ini berkata, akademi itu sepatutnya dilancarkan pada awal Januari namun ditangguhkan atas sebab-sebab teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, bagaimanapun SAFA memutuskan untuk melancarkannya minggu depan dan kemudian disusuli pelancaran di peringkat daerah yang akan diadakan di Keningau selepas ini.

Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA memberitahu, akademi itu diwujudkan selepas SAFA mengadakan memondum persefahaman dengan Majlis Sukan Negara dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bagi menjayakan program pembangunan bola sepak di negeri ini.

“Akademi SAFA akan membabitkan pelatih-pelatih bawah umur 12 tahun, 14 tahun dan 16 tahun. Mereka ini akan diberi bimbingan dan pendedahan melalui program pembangunan bagi memastikan mereka dapat diketengahkan dan menjadi pemain yang terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Azman menerangkan sesuatu mengenai pengisian program akademi berkenaan.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pelaksana pelancaran akademi berkenaan di pejabat SAFA di sini, pagi tadi.

Menurutnya, setakat ini persiapan akhir sedang dilakukan bagi menjayakan pelancaran akademi tersebut.

Katanya, SAFA membuat keputusan melakukan pelancarannya di Kota Kinabalu walaupun sebelum ini ia dicadangkan diadakan di Sandakan.

“Bagi SAFA perancangan mewujudkan akademi bola sepak penting dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pemain di samping salah satu usaha untuk terus memajukan sukan bola sepak di Sabah,” ujarnya.

Azman berkata, akademi itu akan dikendalikan oleh beberapa jurulatih bertauliah dan berpengalaman yang akan ditentukan badan bola sepak negeri.

“Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat akan menentukan jurulatih yang akan diberi peranan dalam akademi tersebut,” tambahnya.

Beliau berharap SAFA daerah akan melakukan persiapan masing-masing bagi membolehkan akademi tersebut dapat dilaksanakan di daerah masing-masing.

Turut hadir pada mesyuarat itu Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Lokman Sunggim.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.