JAKARTA: Pengalaman `mudik’ sempena Hari Raya Aidilfitri cukup meriah dan bermakna buat satu keluarga dari wilayah Lampung, Indonesia selepas dapat pulang ke kampung secara beramai-ramai bersama adik-beradik mereka.
Lapor wolipop.detik.com, video yang memaparkan perjalanan pulang beraya rombongan keluarga itu, menjadi tular selepas dimuat naik oleh pengguna akaun TikTok, Jhony Affandy.
Rakaman menunjukkan ahli keluarga itu dalam formasi lengkap berkonvoi dengan kenderaan masing-masing ketika pulang ke kampung halaman mereka.
“Buat para perantau, baliklah ke rumah, ingat ibu bapa anda sangat merindui anda.
“Rumah yang biasanya sunyi kini menjadi meriah. Kami pulang dan berkumpul beramai-ramai untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri,” jelas catatan pada video itu.
Dalam video berdurasi 56 saat itu, kelihatan sejumlah besar kenderaan menggunakan lampu kecemasan ketika berkonvoi pulang ke kampung.
Deskripsi rakaman video itu tertera betapa tidak sabarnya perantau mahu bertemu dengan ibu bapanya yang berada di kampung halaman.
“Ma.. kami sudah pulang, semua anak-anak anda akan menyambut Hari Raya bersama anda. Semoga papa menyaksikan detik terbaik ini di syurga Allah,” jelas akaun TikTok itu.
Rakaman video pulang beraya itu memperoleh lebih tujuh juta tontonan.
Malah, klip video itu menerima pelbagai reaksi warganet yang rata-rata terharu melihat rombongan keluarga itu pulang ke kampung dalam formasi penuh.
Sementara itu, Jhony mengesahkan rakaman tular itu merupakan video lama keluarganya pulang beraya pada tahun lalu.