KENINGAU (Sabah, Malaysia) – Polis Keningau menangkap seorang gadis warga asing kerana didapati memiliki dadah seberat 6.07 gram.
Wanita berumur 23 tahun itu dicekup dalam satu serbuan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di rumah nombor 196 Lorong Muhibah 8, Taman Muhibah Keningau kira-kira jam 5.50 petang pada Ahad lalu (6 Mac 2016).
Ketua Polis Daerah Keningau – Deputi Supritendan Polis (DSP) Douglas Nyeging Taong mendedahkan kepada pengamal media, bahawa wanita itu dikatakan menyorokkan diri di bawah katil ketika serbuan itu dilakukan.
Dalam satu serbuan berasingan pada masa yang sama, polis turut menangkap dua orang lelaki PATI dan seorang warga tempatan kerana memiliki dadah jenis syabu, di sebuah rumah Taman Perumahan di sini.
Douglas berkata, suspek berumur diantara 29 – 43 tahun dan kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine dan Amphetamine.
Wanita serta tiga orang lelaki itu dirujuk dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali.
Kesemua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan denda tidak melebihi RM5,000.00. — MA