Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pertembungan maruah, rebut RM119.4 juta

0

AL RAYYAN, Qatar: Kedudukan tempat ketiga mungkin tidak berprestij dan pemenang pula mudah dilupakan berbanding pasukan yang bergelar juara ­Piala Dunia.

Bagaimanapun, pertembu­ngan Croatia dan Maghribi di Stadium Antarabangsa Khalifa hari ini dijangka tetap sengit de­ngan kedua-dua pasukan bersedia mengerah kudrat terakhir untuk menamatkan kempen di kedudukan terbaik.

Pertama, pasukan yang kalah hari ini akan ‘kehilangan’ AS$2 juta (RM8.9 juta).

Pasukan yang menamatkan kempen di tangga ketiga bakal meraih habuan AS$27 juta (RM119.4 juta), manakala AS$25 juta (RM110.54 juta) pula menanti negara yang menduduki tempat keempat.

Begitupun paling penting, pasukan tangga ketiga akan pulang bersama pingat.

Secara keseluruhan, Piala Dunia menawarkan AS$440 juta (RM1.95 bilion) untuk 32 pasukan bertanding dengan juara menikmati AS$42 juta (RM185.70 juta) dan naib juara AS$30 juta (RM132.65).

Bagi Croatia, selepas muncul naib juara di Russia 2018, menamatkan kempen di tangga ketiga di Qatar bukanlah keputusan yang terlalu mengujakan.

Di Eropah pula, sudah banyak negara pernah bergelar juara.

Begitupun, situasi berbeza dengan Maghribi yang memahat sejarah sebagai negara Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.
Menduduki tangga ketiga akan memberi makna lebih ­besar kepada mereka.

Skuad Singa Atlas akan menceriakan bukan sahaja jutaan rakyat negara mereka, malah peminat bola sepak di seluruh Afrika dan negara-negara Arab jika mengalahkan Croatia.

Selepas seri tanpa jaringan di peringkat kumpulan, kedua-dua pasukan dijangka menampilkan kelainan, di mana beberapa pemain dari bangku simpanan bakal dibawa masuk.

Tiada lagi permainan berhati-hati. Kedua-duanya akan mengeluarkan semua yang ada, bermain dengan DNA sebenar untuk pulang bersama kemenangan.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.