Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sabah FC sumbang RM5,000 pembentukan pasukan B12 dan B17 dengan TABS

0

Oleh DG HENRY

Jelani bersama sebahagian pemain-pemain yang menyertai karnival itu.

PENGARAH Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan mengumumkan sumbangan kelab itu sebanyak RM5,000 kepada TABS SAFA Bandaraya Kota Kinabalu susulan kerjasama bagi pembentukan pasukan B12 dan B17 antara TABS dan Sabah FC.

Katanya, Sabah FC dan TABS telah memeteraikan memorandum persefahaman (MoU) bagi pembentukan kedua-dua pasukan remaja itu tahun lepas.

“Sumbangan ini sebagai permulaan bagi penyediaan peralatan sukan dan jersi kepada kedua-dua pasukan berkenaan,” katanya ketika merasmikan Karnival bola sepak B12 – B18 TABS SAFA Bandaraya di padang TABS SUKMA, pagi tadi.

Menurut Jelani, jika ada keperluan, sumbangan ini akan ditambah supaya pasukan yang dibentuk dengan kerjasama TABS itu akan terus berjalan dengan baik dan diperkasakan lagi.

Beliau berkata, ini bagi memastikan kerjasama Sabah FC dan TABS khususnya berkaitan pewujudan pasukan B12 dan B17 itu akan mencapai matlamat dan sasaran yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Mengenai karnival bola sepak itu, Jelani yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menambah, ia akan dapat mengetengahkan bakat pelatih-pelatih yang mengikuti Program pembangunan bola sepak yang dikendalikan TABS.

Katanya, setelah dalam masa dua tahun lepas aktiviti bola sepak di padang terjejas akibat pandemik Covid-19 namun pelatih-pelatih ini dapat kembali semula kali ini meneruskan aktiviti dan latihan mereka.

“Program pembangunan bola sepak TABS ini sangat baik untuk mengasah bakat kanak-kanak dan remaja bagi membolehkan mereka suatu hari kelak menjadi pelapis kepada pemain-pemain senior,” ujarnya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Shamsuddin Mohd Shah, Pegawai Teknikal SAFA, Omar Maya Amat dan Setiausaha SAFA Bandaraya, Dg. Juraidah Datuk Abdul Rahim.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.