Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sabah FC lebih bersedia hadapi saingan liga super musim ini

0

Oleh DG HENRY

PERSATUAN Bola Sepak Sabah (SAFA) akan lebih bersedia menghadapi saingan Liga Super musim ini yang dijadual bermula pada Mac ini.

Bung Moktar bersama sebahagian skuad Sabah FC musim 2022.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata pihaknya yakin Sabah FC kali ini mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain dalam liga tersebut.

Bung Moktar diiringi Pengarah Sabah FC, Datuk Dr, Jelani Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Khairul Firdaus setibanya menghadiri majlis itu.

Katanya, SAFA lebih tersusun musim ini berbanding musim lalu dan ia mampu memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lawan.

“Kewujudan pasukan yang serba baharu ini akan menyuntik semangat tinggi kepada pemain-pemain untuk menang,” katanya pada majlis fundraising dinner di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya mahu semua pemain sentiasa mempunyai semangat baharu untuk mencapai kemenangan dan tidak sekali-kali menunjukkan sikap rendah diri kepada pasukan lawan.

Katanya, setiap pemain haruslah memiliki sikap sebagai sang juara di samping memperagakan corak permainan yang terbaik serta mempunyai semangat juang tinggi untuk menang dalam setiap perlawanan.

Menurut Bung Moktar, ketua jurulatih SAFA, Datuk Ong Kim Swee telah berusaha melakukan persiapan kepada pasukan agar berupaya meningkatkan prestasi pasukan dan mampu memberi cabaran kepada lawan.

“Justeru dengar kepada ketua jurulatih dan bukan yang lain,” tegasnya.

SAFA dilihat sebagai sebuah pasukan berwajah baharu dalam saingan Liga Malaysia musim ini dengan mendapatkan khidmat bintang-bintang tempatan ternama seperti Badrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan, Rizal Ghazali, Irfan Fazail selain beberapa pemain import baru yang akan diperkenalkan kemudian.

Sehubungan itu, Presiden SAFA itu juga meminta peminat dan para penaja supaya terus memberi sokongan kepada Sabah FC agar pasukan itu mampu beri cabaran Liga Malaysia.

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.