Oleh EKOK AMIN
KOTA KINABALU–TABS SAFA Bandaraya mengalu-alukan usaha Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) untuk mewujudkan Akademi Bola Sepak yang dijangka dilancarkan dalam sedikit masa lagi.
Timbalan Pengerusinya, Lokman Sunggim berkata, pewujudan akademi bola sepak itu sangat dialu-alukan sebagai salah satu insiatif SAFA dalam memajukan sukan bola sepak di negeri ini.
Katanya, sudah tiba masanya SAFA mempunyai akademi bola sepak bagi memantapkan lagi program pembangunan khususnya di peringkat akar umbi.
“Kita sentiasa menyokong usaha badan bola sepak negeri bagi menubuhkan akademi tersebut di samping usaha-usaha untuk melaksanakan sebarang program pembangunan untuk mengembangkan sukan bola sepak,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat pengurusan tertinggi TABS SAFA Bandraya di Kompleks Sukan Likas di sini pada Isnin.
Mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Sulaiman Mohd Nor.
Baru-baru ini, Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar ketika mengumumkan penubuhan Akademi SAFA yang pertama kali itu, berkata majlis pelancaran akademi itu akan disempurnakan Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin di Kinabatangan dalam masa terdekat.
Katanya, akademi tersebut membabitkan kategori bawah umur 12, 14 an 16 tahun akan diperluaskan ke daerah-daerah di seluruh negeri.
Lokman yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan SAFA berkata, pihaknya akan berusaha membantu SAFA Bandaraya Kota Kinabalu untuk merealisasikan pembentukan akademi berkenaan di oeringkat bandaraya.
“Kita akan mengadakan perbincangan dengan barisan kepimpinan baharu SAFA Bandaraya terlebih dahulu untuk proses pembentukan akademi tersebut”.
“Di pihak TABS, kita akan membantu menyediakan pemain-pemain elit bawah umur 12, 14 dan 16 tahun untuk diserapkan dalam Akademi SAFA Bandaraya itu selain mencadangkan barisan jurulatih berpengalaman bagi mengendalikan sesi latihan mengikut kategori umur yang ditetapkan,” tegasnya.